Wednesday, June 19, 2013

Adakah azab kubur tidak bertepatan dengan Sains?

Seorang Ateis menolak azab kubur. Katanya ia bertentangan dengan Sains dan bertentangan dengan akal yang sihat. Beliau berhujah dengan mengemukakan ayat:

"Katakanlah (wahai Muhammad) : "Sebenarnya maut yang kamu melarikan diri daripadanya itu, tetaplah dia akan menemui kamu; kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah dan mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, lalu ia memberitahu kepada kamu apa yang kamu telah lakukan (serta membalasnya)."

(al-Jumuah : 8)

Ayat ini bukannya salah, tetapi tidak boleh dijadikan hujah tentang azab kubur kerana ayat menerangkan tentang kematian yang menimpa hidup setiap manusia meskipun dia berusaha melarikan diri daripadanya.

Ayat yang hampir menceritakan tentang azab kubur terdapat dalam surah Al-Ghafir yang berbunyi:

"(Dengan keikhlasannya dan penyerahan dirinya kepada Allah) maka ia diselamatkan oleh Allah dari angkara tipu daya mereka; dan Firaun bersama-sama kaumnya ditempa azab seksa yang seburuk-buruknya. Mereka didedahkan kepada bahang api neraka pada waktu pagi dan petang (semasa mereka berada dalam alam barzakh) : "Masukkanlah Firaun dan pengikut-pengikutnya ke dalam azab seksa api neraka yang seberat-beratnya!."

(Al-Ghafir : 45&46)

Hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah R.A menjelaskan: Aisyah R.A berkata "Dua orang tua yahudi dari kalangan penduduk Madinah menemui saya dan berkata: "Ahli-ahli kubur diazab dalam kubur masing-masing, saya telah menolak perbicaraan mereka berdua lalu mereka keluar." Tidak lama selapas itu Rasulullah S.A.W masuk ke bilik saya dan saya menceritakan kepada baginda tentang apa yang saya katakan kepada mereka berdua dan saya tidak mempercayai apa yang mereka katakan. Sabda Rasulullah S.A.W; "Keduanya bercakap benar. Mereka di azab di dalam kubur mereka dengan azab yang didengari oleh kesemua  binatang." Saya tidak melihat selepas itu melainkan baginda sentiasa memohon agar dijauhkan daripada azab kubur.

Setelah itu Aisyah R.A menyebut Hadis lain yang menjelaskan Rasulullah S.A.W berlindung diri daripada sikap lemah, malas, penakut, bakhil dan juga azab kubur.

Dan Hadis yang ketiga membicarakan tentang soalan yang dikemukakan oleh dua orang malaikat kepada setiap yang diletakkan di dalam kuburnya.

Semoga Allah memberikan hidayah-Nya kepada hamba Ateis tersebut.

No comments:

Post a Comment